Isnin, 10 Oktober 2016

KAJIAN PERSEMPADANAN SEMULA



Kajian Persempadanan Kawasan Pilihanraya Tahun 2016 : Satu analisa ringkas bagi kawasan-kawasan parlimen di Selangor
Sebagai permulaan mari kita lihat jadual di bawah
Jadual 1: Perubahan jumlah pengundi bagi kawasan parlimen di Selangor
Bil Kod Parlimen 2013 2016
1. P. 92 Sabak Bernam 37,318 37,126
2. P. 93 Sungai Besar 42,926 42,833
3. P. 94 Hulu Selangor 85,853 86,599
4. P. 95 Tanjong Karang 42,333 42,658
5. P. 96 Kuala Selangor 62,298 60,425
6. P. 97 Selayang 105,895 93,380
7. P. 98 Gombak 23,290 124,983
8. P. 99 Ampang 83,135 79,287
9. P. 100 Pandan 83,857 88,489
10. P. 101 Hulu Langat 127,347 82,951
11. P. 102 Serdang/Bangi 133,265 146,168
12. P. 103 Puchong 107,010 82,698
13. P. 104 Kelana Jaya/Subang 100,222 128,330
14. P. 105 PJ Selatan/Petaling Jaya 79,247 129,363
15. P. 106 PJ Utara/Damansara 85,401 150,439
16. P. 107 Subang/Sg Buloh 128,543 73,448
17. P. 108 Shah Alam 99,957 91,357
18. P. 109 Kapar 144,159 100,456
19. P. 110 Klang 97,073 141,275
20. P. 111 Kota Raja 105,909 121,126
21. P. 112 Kuala Langat 88,474 89,075
22. P. 113 Sepang 84,362 85,395
Dari data-data di atas kita boleh pecahkan hasil kajian ini kepada tiga kumpulan mengikut perubahan jumlah pengundi seperti berikut:
A. Perubahan tidak ketara iaitu bagi parlimen-parlimen:
1. P. 92 Sabak Bernam BN
2. P. 93 Sungai Besar BN
3. P. 94 Hulu Selangor BN
4. P. 95 Tanjong Karang BN
5. P. 96 Kuala Selangor BN
6. P. 98 Gombak PKR
7. P. 99 Ampang PKR
8. P. 100 Pandan PKR
9. P. 108 Shah Alam PAS
10. P. 112 Kuala Langat PKR
11. P. 113 Sepang PAS
Kumpulan ini sebahagian besarnya adalah kubu kuat BN atau kubu kuat parti-parti bukan BN di mana kajian ini bukan senjata yang bakal digunakan oleh mereka.
B. Peningkatan sangat ketara iaitu bagi parlimen-parlimen:
1. P. 102 Serdang/Bangi DAP
2. P. 104 Kelana Jaya/Subang PKR
3. P. 105 PJ Selatan/Petaling Jaya PKR
4. P. 106 PJ Utara/Damansara DAP
5. P. 110 Klang DAP
6. P. 111 Kota Raja PAS
Kumpulan ini merupakan kubu kuat parti-parti bukan BN dan saya percaya mereka sekadar bertanding untuk menghidupkan jentera parti sahaja atau demi maruah mereka.
C. Penurunan sangat ketara iaitu bagi parlimen-parlimen:
1. P. 97 Selayang PKR
2. P. 101 Hulu Langat PAS
3. P. 103 Puchong DAP
4. P. 107 Subang/Sungai Buloh PKR
5. P. 109 Kapar PKR
Kumpulan ini (kecuali parlimen Puchong) adalah sasaran untuk dirampas oleh BN melalui kajian ini dengan menggunakan dua cara iaitu dengan memindahkan sesebuah DUN dari kumpulan C ke kumpulan B atau memindahkan beberapa Daerah Mengundi dari kumpulan C ke kumpulan B atau A
P. 101 Hulu Langat
Parlimen ini mempunyai pengundi Melayu sekitar 53% sebelum kajian ini dibuat dan mempunyai tiga buah DUN iaitu Dusun Tua (Melayu 57%), Semenyih (Melayu 54%) dan Kajang (Melayu 47%). Selepas Kajian, Dun Kajang dipindahkan ke parlimen Bangi (dulunya dinamakan Serdang). Pemindahan ini menyebabkan peratus mengundi Melayu bagi Parlimen Hulu Langat meningkat kepada sekitar 56%. Walaupun pertambahan pengundi Melayu sekitar 3% sahaja namun BN percaya mereka dapat merampas kembali kubu kuat mereka ini dalam pilihan raya akan datang.
Selepas kajian juga peratus pengundi Melayu di parlimen Bangi meningkat dari sekitar 36% kepada 48% kerana pada masa yang sama DUN Seri Kembangan (Melayu 7%) dipindahkan ke parlimen Puchong. BN-MCA mengharapkan dengan pertambahan 12% pengundi Melayu di situ mereka boleh memberikan saingan sengit kalau pun tidak dapat merampas kembali parlimen tersebut dari DAP.
P. 107 Subang/Sungai Buloh
Parlimen ini mempunyai pengundi Melayu sekitar 50% sebelum kajian ini dibuat dan mempunyai tiga buah DUN iaitu Bukit Lanjan, Paya Jaras dan Kota Damansara. Selepas Kajian, Dun Bukit Lanjan (Melayu sekitar 43%) telah dipindahkan ke Parlimen Damansara (dulunya PJ Utara). Kini parlimen Sungai Buloh (dulunya Subang) hanya mempunyai dua buah DUN sahaja iaitu Paya Jaras (Melayu sekitar 60%) dan Kota Damansara (Melayu sekitar 56%). Pemindahan ini menyebabkan peratus mengundi Melayu bagi Parlimen ini meningkat kepada sekitar 58%. Paya Jaras merupakan kubu kuat BN sejak merdeka di mana mereka menguasainya dalam semua pilihan raya kecuali pada 2013. Mereka yakin dapat merampas kembali Dun ini. Mereka juga yakin dapat merampas DUN Kota Damansara kerana pertandingan tiga penjuru antara UMNO-PAS-PSM seolah-olah tidak dapat dielakkan lagi.
Selepas Kajian juga peratus pengundi Melayu di parlimen Damansara meningkat sedikit dari sekitar 15% kepada 23%. Perubahan ini tidak membawa sebarang makna kerana parlimen Damansara adalah kubu kuat DAP dan pertambahan pengundi Melayu di situ sekadar untuk memastikan calon BN-MCA tidak hilang wang pertaruhan sahaja.
P. 109 Kapar
Parlimen ini mempunyai pengundi Melayu sekitar 51% sebelum kajian ini dibuat dan mempunyai empat buah DUN iaitu Meru (Melayu 60%), Sementa (Melayu 49%), Sungai Pinang (Melayu 28%) dan Selat Kelang (Melayu 65%). Selepas Kajian, Dun Sungai Pinang dipindahkan ke parlimen Klang. Pemindahan ini menyebab kan peratus mengundi Melayu bagi Parlimen Kapar meningkat kepada sekitar 58%. Peningkatan 7% pengundi Melayu ini diharapkan boleh menyebabkan BN-MIC merampas kembali parlimen ini.
Selepas kajian juga peratus pengundi Melayu di parlimen Klang meningkat sedikit dari sekitar 33% kepada 36%. Perubahan ini tidak membawa sebarang makna kerana parlimen Klang adalah kubu kuat DAP dan pertambahan pengundi Melayu di situ sekadar untuk memastikan calon BN-MCA tidak hilang wang pertaruhan sahaja.
P. 97 Selayang
Saya tidak mempunyai data lengkap Pemindahan Daerah Mengundi yang menyebabkan penurunan pengundi begitu ketara di parlimen ini.
Kesimpulan:
1. Jelas tiga buah parlimen iaitu Hulu Langat, Sungai Buloh dan Kapar merupakan sasaran utama BN untuk dirampas melalui kajian ini.
2. Pada masa yang sama kajian ini menyebabkan kubu-kubu DAP diperkuatkan lagi dan bagaimana MCA boleh berdiam diri sangat memeranjatkan kita.
3. Kawasan parlimen Sepang walaupun tidak terjejas dengan kajian ini bukanlah kawasan yang selamat bagi parti-parti bukan BN cuma BN merasakan mereka boleh merampas kembali parlimen itu tanpa menggunakan kajian SPR yang mereka tunggang ini.
4. Sebenarnya analisa ini tidak lengkap/separuh masak kerana saya tidak mempunyai data kedudukan Daerah-Daerah Mengundi selepas kajian di samping keputusan PU ke 13 bagi setiap Daerah Mengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan